"Empayar British Pertama" (1583–1783) Empayar British

Plak di St. John, Newfoundland, yang memperingati Gilbert sebagai pengasas Empayar British di luar negara.

Pada tahun 1578, Sir Humphrey Gilbert dianugerahkan paten oleh Ratu Elizabeth I untuk penemuan dan penjelajahan luar negara, yang kemudian belayar ke Hindia Barat dengan niat untuk melanun; dan dalam perjalanan pulang, mendirikan sebuah koloni di Amerika Utara. Ekspedisi ini pada mulanya gagal kerana cuaca buruk. Pada tahun 1583, Gilbert mencuba kali kedua dan kali ini ke pulau Newfoundland di mana dia secara rasmi menuntut pelabuhan St John's sebagai hak British. Gilbert meninggal dunia dalam perjalanan pulang ke England dan digantikan oleh abang tirinya Walter Raleigh yang diberikan paten tersendiri oleh Elizabeth pada tahun 1584 dalam tahun yang sama terdirinya koloni di Roanoke, sekarang North Carolina.

Pada tahun 1603, Raja James VI dari Scotland menaiki takhta dan pada tahun 1604 menandatangani Perjanjian London yang menamatkan permusuhan dengan Sepanyol. Dengan wujudnya perdamaian dengan pesaing utamanya, perhatian Inggeris beralih kepada mendirikan koloninya sendiri di luar negara.[10] Walaupun permulaannya tidak begitu berjaya, Empayar British mula mengukuh semasa awal kurun ke-17 dengan penempatan di Amerika Utara dan pulau di Caribbean, serta penubuhan syarikat persendirian iaitu Syarikat Hindia Timur Inggeris untuk berdagang di Asia. Zaman ini sehingga kehilangan 13 koloni berikutan Deklarasi Kemerdekaan Amerika Syarikat pada akhir kurun ke-18, dirujuk sebagai ”Empayar British I”.[11]

Benua Amerika, Afrika dan perdagangan hamba

Kepulauan Caribbean pada mulanya menjadi koloni penting dan lumayan bagi British[12] hanya selepas beberapa cubaan penjajahan gagal. Cubaan untuk mendirikan koloni di Guiana pada tahun 1604 hanya bertahan selama dua tahun dan gagal dalam objektifnya mencari emas.[13] Koloni di St Lucia (1605) dan Grenada (1609) juga dengan cepat ditinggalkan tetapi penempatan berjaya didirikan di St. Kitts (1624), Barbados (1627) dan Nevis (1628). Tidak lama selepas itu, koloni-koloni mengamalkan sistem perladangan tebu yang terbukti berjaya digunakan oleh Portugis di Brazil yang bergantung pada buruh hamba – pada mulanya – kapal Belanda, untuk menjual hamba dan membeli gula. Untuk memastikan keuntungan yang banyak berada di tangan Inggeris, Parliamen mendekrikan pada tahun 1651 bahawa hanya kapal Inggeris boleh berdagang di koloni. Ini membawa kepada perseteruan dengan Belanda dan satu siri Perang Inggeris-Belanda tercetus yang akhirnya membawa kepada pengukuhan kuasa British di Amerika. Pada tahun 1655, British mengambil Jamaica daripada Sepanyol, dan pada tahun 1666 berjaya menjajah Bahamas.

Koloni British di Amerika Utara, sekitar tahun 1750. 1: Newfoundland; 2: Nova Scotia; 3: Koloni 13; 4: Bermuda; 5: Bahamas; 6: British Honduras; 7: Jamaica; 8: Lesser Antilles

Penempatan tetap British di luar negara didirikan pada tahun 1607 di Jamestown yang diketuai oleh Kapten John Smith dan diuruskan oleh Syarikat Virginia, dan cawangannya juga mendirikan satu koloni di Bermuda yang ditemui pada tahun 1609. Piagam syarikat dibatalkan pada tahun 1624 dan kawalan langsung diambil alih oleh kerajaan dan dengan itu tertubuhlah Koloni Virginia. Syarikat Newfoundland dibuat pada tahun 1610 dengan tujuan untuk mewujudkan penempatan tetap di Newfoundland tetapi gagal. Pada tahun 1620, koloni Plymouth dibentuk sebagai tempat perlindungan pelampau agama yang kemudian dikenali sebagai Pilgrim. Melarikan diri dari hukuman menjadi motif kebanyakan kolonis Inggeris yang sanggup menumpuh pelayaran melintasi lautan Atlantik yang sukar. Maryland dijadikan tempat perlindungan bagi penganut Katolik Rom (1634), Rhode Island (1636) sebagai koloni yang toleran kepada semua agama dan Connecticut (1639) untuk satu puak dari Protestan. Carolina pula didirikan pada tahun 1663. Pada tahun 1664, England mendapat koloni Belanda New Amsterdam (kemudian dinamakan semula sebagai New York) melalui perundingan berikutan Perang Inggeris-Belanda Kedua sebagai tukaran kepada Surinam. Pada tahun 1681, Pennsylvania ditubuhkan oleh William Penn.

Pada tahun 1695, Parlimen Scotland meluluskan piagam kepada Syarikat Scotland, yang meneruskan pembinaan penempatan di segenting Panama pada tahun 1698 dengan tujuan membina terusan di sana. Kepungan koloni Sepanyol di New Granada dan jangkitan malaria menyebabkan koloni ditinggalkan dua tahun kemudian. Peristiwa ini (yang dipanggil skema Darien) merupakan malapetaka kewangan yang besar kepada Scotland kerana satu perempat daripada modalnya hilang dalam usaha tersebut.

Koloni-koloni Amerika ini membekalkan tembakau, kapas dan beras di selatan dan peralatan tentera untuk kapal di utara, tetapi tidak begitu lumayan daripada koloni-koloni di Caribbean. Walaupun begitu koloni di Amerika mempunyai tanah pertanian yang besar dan baik serta menarik ramai imigran Inggeris yang sukakan cuaca yang sederhana.[14] Revolusi Amerika menyebabkan kerajaan bebas pada tahun 1775 untuk 13 koloni yang kemudiannya mengisytiharkan kemerdekaan pada tahun 1776 untuk membentuk Amerika Syarikat. Sungguhpun begitu dianggarkan antara 20 dan 30% penduduk masih taat setia kepada pemerintahan beraja British.[15][16] Negara baru ini terpaksa mempertahankan kemerdekaan mereka daripada tentangan Britain melalui Perang Kemerdekaan Amerika dan dengan kemenangan di medan perang mereka diiktiraf dalam Perjanjian Paris 1783. Peristiwa ini menjadi perang kemerdekaan yang pertama berjaya dalam sejarah menentang penjajah.[17]

Dari awal lagi, perhambaan adalah asas kepada Empayar British di Hindia Barat. Sebelum pengharaman perdagangan hamba pada tahun 1807, Britain bertanggungjawab membawa 3.5 juta hamba Afrika ke Amerika, iaitu satu pertiga dari keseluruhan hamba yang dibawa menyeberangi laut Atlantik.[18] Untuk memudahkan perdagangan ini, kota-kota didirikan di persisiran pantai Afrika Barat seperti Pulau James, Accra dan Pulau Bunce. Di Caribbean British, peratus penduduk kulit hitam meningkat daripada 25% pada tahun 1650 kepada 80% pada tahun 1780, dan di 13 koloni daripada 10% kepada 40% dalam masa yang sama (majoritinya di selatan).[19]

Untuk pedagang hamba, perdagangan ini sangat menguntungkan dan menjadi sumber ekonomi utama untuk bandar British seperti Bristol dan Liverpool, yang membentuk apa yang dipanggil perdagangan segi tiga dengan Afrika dan Amerika.

Pesaingan dengan Belanda di Asia

Pada akhir abad ke-16, England dan Belanda mula mencabar monopoli perdagangan Portugal di Asia dengan membentuk syarikat persendirian untuk membiayai pelayaran. Syarikat India Timur Inggeris dan Syarikat India Timur Belanda; yang menerima piagam pada tahun 1600 dan 1602. Syarikat ini bertujuan untuk mengeksploitasi perdagangan rempah yang lumayan, dan menumpukan perhatian mereka kepada kepulauan Nusantara dan India yang ketika itu rangkaian perdagangan penting. Kedudukan London dan Amsterdam yang rapat dan persaingan sengit antara England dan Belanda mewujudkan konflik antara kedua-dua syarikat, dengan Belanda berjaya menguasai Maluku (dulunya kubu Portugis) selepas Inggeris berundur pada tahun 1622 dan Inggeris pula mencapai kejayaan di India, terutamanya di Surat selepas pembinaan sebuah kilang pada tahun 1613.

Permusuhan antara dua kuasa penjajah ini tamat selepas Revolusi 1688 apabila William dari Orange yang lahir di Belanda menaiki takhta Inggeris yang membawa perdamaian antara Belanda dan Inggeris. Perjanjian antara dua negara ini memberi perdagangan rempah di Nusantara kepada Belanda dan industri tekstil di India kepada Inggeris. Industri tekstil kemudiannya terbukti lebih menguntungkan daripada rempah dan pada tahun 1720, syarikat Inggeris berjaya mengatasi syarikat Belanda daripada segi keuntungan.[20] Syarikat India Timur Inggeris mengalihkan perhatiannya dari Surat - sebuah pusat perdagangan rempah - ke Kota St George (kemudiannya Madras), Bombay (diserahkan Portugis kepada Charles II dari England pada tahun 1661 sebagai hantaran perkahwinan kepada Catherine de Braganza) dan Sutanuti (yang bergabung dengan dua lagi kampung menjadi Calcutta).

Perebutan dengan Perancis

Perdamaian antara Inggeris dan Belanda pada tahun 1688 bermakna kedua-dua negara terlibat dalam Perang Tujuh Tahun sebagai sekutu, tetapi konflik – yang tercetus di Eropah dan dunia antara Perancis, Sepanyol dan persekutuan Inggeris-Belanda – menjadikan Inggeris penjajah yang lebih kuat berbanding Belanda, yang terpaksa memperuntukkan bajet besar untuk ketenteraan dan perang di Eropah.[21] Abad ke-18 menyaksikan England (selepas tahun 1707, Britain) naik menjadi kuasa dominan penjajah dan Perancis menjadi saingannya.[22]

Kematian Charles II dari Sepanyol pada tahun 1700 dan penyerahan kepada warisnya, Philippe dari Anjou, yang merupakan cucu kepada Raja Perancis, memberi harapan kepada penyatuan Perancis, Sepanyol dan koloni mereka – satu keadaan yang membimbangkan Britain dan kuasa Eropah lain. Pada tahun 1701, Britain, Portugal dan Belanda menyebelahi Empayar Rom Suci menentang Sepanyol dan Perancis dalam Perang Merebut Takhta Sepanyol. Konflik ini berlangsung sehingga tahun 1714 dengan kekalahan Perancis dan Sepanyol. Dalam Perjanjian Utrecht, Philip melepaskan tuntutan ke atas takhta Perancis. Sepanyol hilang empayarnya di Eropah dan walaupun ia masih memegang empayarnya di benua Amerika dan Filipina, kuasanya sudah lemah. Empayar British pula diperluas; daripada Perancis ia mengambil Newfoundland dan Akadia, dan daripada Sepanyol ia mendapat Gibraltar dan Minorka. Gibraltar yang masih lagi wilayah British di luar negara, menjadi pengkalan tentera laut penting yang membolehkan Britain mengawal kapal dari laut Atlantik yang keluar dan masuk ke laut Mediterranean. Minorka dikembalikan kepada Sepanyol dalam Perjanjian Amiens pada tahun 1802 setelah dua kali bertukar tangan. Sepanyol juga menyerahkan haknya kepada perdagangan lumayan “asiento” (kebenaran menjual hamba di kawasan Sepanyol di Amerika) kepada Britain.

Perang Tujuh Tahun yang bermula pada tahun 1756 merupakan perang pertama dicetuskan pada skala global; di Eropah, India, Amerika Utara, Caribbean, Filipina dan persisiran pantai Afrika. Perjanjian Paris 1763 memberi kesan penting ke atas Britain dan empayarnya. Di Amerika Utara, kuasa Perancis sebagai penjajah berakhir dengan penyerahan Perancis Baru kepada Britain dan Louisiana kepada Sepanyol. Sepanyol pula menyerahkan Florida kepada Britain. Di India, Perang Karnatik menyebabkan Perancis terpaksa bersetuju memberi bantuan kepada negeri di bawah Britain. Kemenangan British ke atas Perancis dalam Perang Tujuh Tahun menjadikan Britain sebagai kuasa dominan penjajah.[23]